Wednesday, 22 May 2013

10 PROFILE OF GRADUATE ENTREPENEUR



USAHAWAN TANI



JAMALUDDIN Abdul Rashid yang dulunya siswazah menganggur kini menjadi usahawan tani yang berjaya di hadapan banglonya di Kampung Sadek, Kupang, Kedah.
BALING 24 Mac – Kira-kira 19 tahun lalu, selepas menamatkan pengajian di Universiti Sains Malaysia (USM), Jamaluddin Abdul Rashid bercita-cita untuk menjadi pegawai daerah.
Bagaimanapun permohonannya bagi pekerjaan ke arah jawatan tersebut gagal.

Beliau kemudian memohon pelbagai jawatan kerajaan tetapi nasib tidak menyebelahinya.
Malu dengan keadaan dirinya yang masih menganggur walaupun memiliki segulung ijazah, Jamaluddin sanggup melakukan semua kerja termasuk menjadi buruh, bersawah dan menoreh getah – semua kerja yang tidak memerlukan ijazah.

Setelah lima tahun `menjaja’ ijazahnya, beliau yang memperoleh Ijazah Sarjana Muda Sains Kemasyarakatan pada 1986 memutuskan untuk tidak lagi memohon pekerjaan menggunakan kelulusannya itu.
Sebaliknya, Jamaluddin, 45, berusaha membuka tapak semaian pokok bunga dan pokok teduhan dan kini beliau merupakan usahawan tani yang berjaya.
Beliau bukan sahaja menjadi majikan kepada 10 orang pekerja tetapi mendapat kepercayaan sebuah pemaju terkenal untuk membekalkan pokok bunga dan teduhan ke jabatan kerajaan, sekolah dan swasta.
Hasil titik peluhnya mengusahakan tapak semaian yang dikenali sebagai `Semaian Ani Ayu’ itu, Jamaluddin yang pernah menyertai Skim Khidmat Siswazah (SKS) bagi graduan menganggur pada 1986, dapat membina sebuah banglo.
Banglo tersergam indah di Kampung Sadek, Kupang yang berharga lebih RM300,000 itu adalah lambang kegigihan, kecekalan dan keberanian seorang siswazah yang tidak bergantung harap kepada kerajaan semata-mata.
“Saya tidak berminat untuk bekerja di pejabat lagi walaupun ditawarkan jawatan yang tinggi,” kata Jamaluddin ketika ditemui oleh Utusan Malaysia di rumahnya, hari ini.
Jamaluddin berkata, beliau tidak pernah menyesal kerana cita-cita menjadi pegawai tinggi kerajaan tidak tercapai.
Beliau turut menasihatkan graduan menganggur yang kini berjumlah 80,000 orang supaya tidak memilih pekerjaan dan berharap kerja `makan gaji’ semata-mata.
“Buatlah sebarang pekerjaan yang halal dan sebaik-baiknya buatlah pekerjaan sendiri kerana kita lebih bebas dan tidak terikat,” ujarnya.
Menceritakan kejayaannya itu, Jamaluddin berkata, beliau mendapat dorongan Jabatan Pertanian dan rakannya seorang lulusan Ijazah Sarjana Muda Botani Universiti Putra Malaysia (UPM) untuk mengusahakan tapak semaian di atas tanah seluas satu hektar pada tahun 1991.
Tambahnya, beliau sedar untuk berjaya, segala perasaan malu, ego dan rasa rendah diri perlu dikikis bagi mencapai matlamat itu.
Bapa kepada dua anak hasil perkongsian hidup bersama Noraini Sulaiman, 39, itu kini boleh berbangga apabila perniagaannya telah berkembang ke seluruh negara walaupun pendapatan awal hanya sekitar RM400 sebulan.
Menurut Jamaluddin, ijazah yang diperoleh hanya sekadar untuk mendapat pengetahuan serta ilmu tetapi ia bukan lesen untuk memperoleh kerja bergaji besar tanpa berusaha sendiri.
“Saya semakin seronok apabila perniagaan ini mampu memberikan pendapatan lumayan sehingga melebihi empat angka,” kata Jamaluddin yang turut menyambut baik langkah kerajaan mewujudkan semula Skim Latihan Siswazah Menganggur (SLSM) bagi mengatasi masalah pengangguran di kalangan lepasan institusi pengajian tinggi.
Bagaimanapun katanya, skim itu perlu meningkatkan bimbingan secara berterusan kepada bekas siswazah, sementara golongan itu pula perlu mengikis sikap untuk bekerja makan gaji semata-mata selepas tamat pengajian di universiti.

AL-IKHSAN


 
Pada usia 11 tahun lagi, Ali Hassan sudah berjinak-jinak dalam bidang perniagaan menjual aiskrim yang dibuat ibunya. Hari ini, kesungguhannya dalam bidang perniagaan berbayar dengan sebuah empayar bernama aL-ikhsaN.   
Bakal menyambut hari ulang tahun ke-40 tahun tidak lama lagi, lelaki yang masih muda ini bukan calang-calang ahli perniagaan. Memupuk minat bisnes sejak kecil dengan prinsip hidup yang kuat berpegang kepada ajaran Islam, hari ini sebanyak 59 buah butik aL-ikhsaN di seluruh negara wujud dan menjadi bukti sebuah empayar perniagaan hebat miliknya. Beliau adalah Ali Hassan Mohd. Hassan, pemilik rangkaian al-ikhsaN yang berkembang maju dalam tempoh 14 tahun. Rangkaian kedai aL-ikhsaN bukan asing lagi dalam kalangan anak muda hari ini yang menggemari produk sukan berjenama popular seperti Nike, Adidas, Puma, Reebok, Umbro, Lotto dan Diadora pada harga yang murah. Kejayaan mengembangkan kedai aL-ikhsaN sekali gus menghakis kritikan bahawa usahawan Melayu sering gagal dalam perniagaan serta menepis stereotaip bahawa orang Melayu sebagai malas dan layu.  Mercu tanda kejayaan empayar al-ikhsaN di seluruh negara sebenarnya bermula dengan urusan jual beli baju sukan berasaskan modal kecil dengan kelompok pelanggan yang tidak besar. Ali Hassan menceritakan produknya pada masa itu hanya dijual kepada rakan-rakan dan pensyarah beliau sewaktu menuntut di Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Skudai, Johor.
Masa menuntut di universiti dulu, saya akan beli satu dan jual satu. Ketika itu, jualan kecil dan modal juga kecil. Jualan dibuat kepada rakan-rakan satu universiti dan juga pensyarah saya. “Sewaktu di UTM, saya juga bekerja sambilan sebagai penghantar piza untuk menampung perbelanjaan pengajian dan sara hidup,” katanya yang berkelulusan Diploma Kejuruteraan Mekanikal UTM pada tahun 1993. Ketika ditanya mengenai biasiswa yang diterimanya, beliau berkata: “Memang saya ada terima biasiswa tetapi saya berikan semua kepada ibu kerana kami bukan orang senang.” AL-IKHSAN juga melebarkan butik perniagaannya sehingga ke Alor Setar, Kedah. Beliau yang merupakan pelajar cemerlang pernah ditawarkan peluang untuk melanjutkan pelajaran ke luar negara tetapi ditolak kerana lebih cenderung untuk mengusahakan perniagaan. Bercerita lanjut mengenai kebangkitan aL-ikhsaN, Ali Hassan memberitahu perniagaan pertamanya bermula di ruang sempit di Holiday Plaza, Johor Bahru dengan modal perniagaan yang diusahakan dengan titik peluhnya sendiri.
“Ketika itu, memang sukar untuk mendapatkan pinjaman daripada institusi kewangan kerana saiz perniagaan ini kecil. Itu bukan alasan untuk tidak berjaya. Saya kena rajin dan kuat berusaha dengan menjual baju sukan secara pantas. “Dapat sahaja barang hari ini, jual secepat mungkin. Cari peluang yang ada di mana sahaja asalkan boleh dijual,” katanya yang pernah naik turun pejabat kerajaan dan syarikat swasta bagi memperoleh tempahan dan memasarkan barangannya. Beliau mula mengusahakan perniagaan serius pada tahun 1994 apabila mendapati wujud trend permintaan terhadap barangan sukan yang amat menggalakkan.
“Mulanya, saya berniaga kerana mempunyai minat mendalam terhadap sukan bola sepak tetapi kemudian ia menjadi lebih serius kerana pada ketika itu agak sukar untuk mendapatkan barangan sukan,” katanya yang merupakan anak bongsu daripada lapan adik-beradik. Sambil meninjau susunan peragaan barang jualannya, beliau menyatakan dalam menjayakan sesuatu perniagaan, beberapa elemen penting perlu ada, antaranya kesabaran, kesungguhan, tiada perasaan malu serta tekun berusaha. “Walaupun kita gagal sekali atau sukar mendapatkan pinjaman bank, kita kena istiqamah dan terus buat sahaja. Jangan fikir apa-apa, usahakan apa yang ada. “Ini penting untuk kita bina reputasi walaupun mengambil masa satu atau dua tahun.
Bila orang melihat reputasi kita yang semakin baik, barulah mereka akan percaya. “Apa sahaja kita kena sabar…. perbaiki apa kelemahan yang ada. Jangan malu bertanya kepada pelanggan apa yang mereka tidak puas hati. Biar mereka ‘komplen’,” katanya yang berpendapat ia merupakan antara langkah untuk memajukan perniagaan ke tahap yang lebih baik lagi. “Saya masih ingat lagi luahan pelanggan kerana barangan yang dipamerkan di kedai pertama sedikit dan banyak kekurangan. Itu tidak ada…ini tidak ada. Jadi, saya berusaha mendapatkan barangan yang mereka mahukan kerana ingin memuaskan hati pelanggan.
“Ambil sahaja apa ‘komplen’ pelanggan dan jangan kita tafsirkan pendapat atau kritikan yang diberikan itu sebagai negatif. Itu tanda mereka sayang kepada kita dan mahu melihat perniagaan kita berkembang,” katanya. Resipi kejayaan selama ini yang didukung dalam diri Ali Hassan sebenarnya berpaksikan sepenuhnya kepada tuntutan dalam agama Islam. “Formula aL-ikhsaN dari dulu sehingga sekarang adalah jangan kita meninggalkan solat lima waktu, jaga ibu bapa kita sebaik mungkin, tunaikan zakat dan berikan sedekah dan bantu mereka yang susah. Beliau menyerah semuanya kepada kekuasaaan Allah dan mempercayai sekiranya melakukan sesuatu perkara kerana Allah semata-mata, kesannya amat berbeza. “Dari sini keajaiban akan berlaku dengan izin Allah. Kita kena yakin dengan janji Allah, iaitu siapa yang ikut perintah-Nya… kemenangan dan kejayaan akan diberikan di dunia dan akhirat.
Mula-mula nampak susah tetapi sekarang semua keajaiban itu menunjukkan hasil. Inilah isi kejayaan yang sebenar,” jelasnya. Selain pegangan kukuh pada tuntutan agama, senjata aL-ikhsaN yang sentiasa berada selangkah di hadapan pesaing adalah harga produk sukan dijual amat berpatutan bagi semua lapisan masyarakat. “Apa yang paling penting ialah aL-ikhsaN memberikan produk-produk berkualiti dan berjenama antarabangsa dengan harga yang cukup berpatutan. Ini memberikan kepuasan kepada pembeli, sekali pakai mereka akan kembali lagi. “Kebanyakan produk yang ada di aL-ikhsaN tidak terdapat di kedai-kedai lain. Pilihan produk juga luas dan dijual pada harga berpatutan. Model kasut sukan dan peralatan lain yang dipakai oleh pemain bola antarabangsa terkenal juga terdapat di kedai ini. “Malah, setiap barang yang dilancarkan di Eropah boleh didapati di sini pada hari yang sama,” tambah beliau.
aL-ikhsaN Sport turut menyediakan kelengkapan sukan bertaraf antarabangsa yang mana produk yang ditawarkan adalah eksklusif dan berkait rapat dengan arena sukan dunia seperti Liga Bola Sepak England, Piala Eropah (Euro), Formula Satu (F1), Sukan Olimpik Beijing serta Piala Dunia 2010. Berhubung kesukaran dalam perniagaan yang dialami, beliau berkata, mengekalkan pekerja dalam industri peruncitan merupakan perkara utama memandangkan pemilihan kerjaya pekerja dalam industri tersebut masih lemah. “Turnover staf adalah tinggi dalam industri peruncitan tetapi kami di aL-ikhsaN masih bagus lagi kerana kami memberikan pakej yang terbaik seperti motivasi dan latihan di ibu pejabat kami di Johor,” katanya.

USAHAWAN PERCETAKAN




LEBIH sedekad penubuhannya, telah menyaksikan perkembangan pesat De’ Armani Niaga (M) Sdn. Bhd. sehingga diiktiraf serta dikenali sebagai sebuah syarikat percetakan milik penuh bumiputera yang memiliki reputasi baik di Lembah Klang.
Semua kejayaan ini tidak mungkin dikecapi tanpa kerja keras, keberanian dan kebijaksanaan Pengasas dan Pengarah Urusannya, Azizulrahman Mohamed Hussain Malim yang turut disokong kuat oleh dua adik beliau, Azizul Rahim dan Azizulmalik selaku Pengarah Operasi dan Pengarah Jualan dan Pemasaran dalam De’ Armani.
Wartawan, ZUARIDA MOHYIN dengan jurufoto, ROY AZIS ABD. AZIZ menemuramah Azizulrahman, 38, di ibu pejabat De’ Armani Niaga (M) Sdn. Bhd., di Jalan Pudu, Kuala Lumpur, baru-baru ini.
MEGA: Untuk dikenali dan sebaris dengan syarikat percetakan yang dimonopoli syarikat asing bukanlah mudah. Sebelum sampai ke tahap sekarang ini bagaimanakah saudara bermula?
AZIZULRAHMAN: Kalau dilihat kepada latar belakang pendidikan, sebenarnya saya langsung tidak mempunyai pengetahuan formal dalam bidang percetakan. Ini kerana saya merupakan pemegang Diploma Pengajian Perniagaan dari Universiti Teknologi Mara (UiTM), cawangan Dungun, Terengganu.
Pun begitu, semuanya bermula sewaktu mula berjinak-jinak dalam dunia perniagaan ketika masih menuntut di pusat pengajian tinggi lagi iaitu kira-kira 17 tahun lalu.
Pada masa itu, saya membuat pemasaran kemeja-T dari universiti ke universiti. Pada masa yang sama diberi peluang membekalkan barangan percetakan.
Daripada situlah, saya kira titik-tolak kepada pengenalan dan pendedahan erti sebenar bidang percetakan.
Pada 1991, sebelum benar-benar serius dengan bidang percetakan, kami bermula dengan menyediakan serta membekalkan cenderamata korporat, alat tulis, kemeja-T di bawah syarikat Armani Enterprise. Malah pada masa itu operasi kami dilakukan di rumah.
Sehinggalah pada 1997, kami membuka sebuah kedai percetakan dan fotokopi di Kompleks Pertama, Jalan Raja Laut, Kuala Lumpur sebelum membuka satu lagi cawangan di Plaza Warisan, Kuala Lumpur. Pada masa ini, adik saya, Azizul Rahim telah turut sama mengendalikan syarikat.
Pada Februari 2000, alhamdulillah kami terpilih menjadi pengedar tunggal sebuah agensi kad undangan perkahwinan yang eksklusif di dunia iaitu TBZ International dari Syria untuk pasaran di Malaysia, Singapura dan Brunei.
Pada 2001, De’ Armani Niaga (M) Sdn. Bhd. ditubuhkan. Setahun kemudian berpindah ibu pejabat operasi dari Taman Industri Bolton, Batu Caves, Selangor ke No. 13, Lorong Brunei Selatan, Off Jalan Pudu, Kuala Lumpur.
Setahun ke setahun, De’ Armani terus berkembang dan kami telah mula memfokus kepada industri percetakan dengan melabur dalam pembelian mesin cetak terkini dan canggih antaranya mesin cetak digital.
Pada 2004, De’ Armani melangkah setapak lagi dengan pembukaan kedai jualan dan ruang pameran di Lot 4, Aras Bawah, Semua House, Jalan Bonus 6, Masjid India, Kuala Lumpur.
Outlet ini menawarkan pelbagai perkhidmatan percetakan terutamanya berkaitan kad jemputan perkahwinan sebagai bisnes utama.
Kalau dahulu tumpuan kami kepada membekalkan produk cenderamata tetapi sejak awal 2007, bisnes teras kami ialah kepada memenuhi permintaan tinggi terhadap penyelesaian percetakan segera.
Kami memberi tumpuan kepada percetakan kad bisnes, kepala surat (letterhead), risalah, surat berita (newsletter), buku, beg kertas, fail kertas (folder), banner, bunting, pelekat dan banyak lagi.
Kelebihan memiliki mesin cetak digital yang tercanggih, menambahkan keyakinan De’ Armani sebagai pusat sehenti percetakan yang mampu menawarkan perkhidmatan mencetak buku-buku cenderahati, profil korporat, buletin dan bahan-bahan seminar tanpa batasan kuantiti, kualiti dan masa.
Apa yang kita ketahui industri percetakan telah lama diterajui oleh bangsa asing tetapi sejak kebelakangan ini barulah ada penglibatan daripada usahawan bumiputera Muslim. Jadi sepanjang penglibatan saudara apakah cabarannya setelah lebih 10 tahun menceburi bidang ini?
AZIZULRAHMAN: Pemonopolian bangsa asing dalam industri percetakan dari dahulu hingga kini memang tidak dapat dinafikan.
Ini kerana, mereka mengambil peluang daripada sikap segelintir masyarakat Melayu yang sanggup berhabisan dengan apa sahaja yang berkaitan perkahwinan antaranya seperti kad undangan perkahwinan. Malah mereka sanggup melabur dan hasilnya kita dapati hari ini merekalah yang mendahului bisnes kad undangan orang Melayu.
Namun, saya percaya bahawa kejayaan bumiputera Muslim masa kini adalah hasil daripada sokongan kerajaan dengan penyediaan pelbagai bantuan yang diperlukan oleh setiap usahawan.
Di samping itu, keprihatinan pihak pengurusan De’ Armani untuk mengubah arah konsep percetakan lebih kepada digital dengan pelaburan sejumlah RM400,000 untuk memperoleh mesin cetak terkini menatijahkan sesuatu yang positif untuk terus bersaing dan bertahan kukuh.
Sepanjang tujuh tahun belajar selok-belok perniagaan kad kahwin dan kita terpaksa merancang serta mencuba setiap reka bentuk ke pasaran bagi memastikan produk yang dikeluarkan itu dapat diterima serta menepati cita rasa dan trend.
Ia bukan sahaja dapat memberi kesedaran kepada para pembeli atau pelanggan tetapi turut menarik minat rakan-rakan pesaing.
Lantaran itu, saya amat berharap akan sentiasa mendapat sokongan daripada pihak kerajaan, kesatuan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk berlanggan dengan kita.
Saya percaya dengan adanya kekuatan dan kemahiran 26 tenaga pekerja yang terlatih, kami mampu memberi yang terbaik kepada semua pelanggan.
Pada masa sama, pembukaan outlet kami di Semua House yang khusus menjalankan perkhidmatan mencetak kad jemputan perkahwinan dan barangan yang berkaitan seperti cenderahati, kemeja-T dan sebagainya.
Kegawatan ekonomi yang pernah melanda negara suatu ketika dahulu turut dirasai syarikat kami. Namun kami mengubah strategi pemasaran dan penjualan.
Kami dapati dengan strategi sebegini, kita mampu bertahan dan pada masa yang sama mendapat modal pusingan yang seimbang.
Apakah perancangan masa depan anda dalam memacu arah tuju De’ Armani?
AZIZULRAHMAN: Saya sedang dalam perancangan untuk mengimport bahan kertas dari luar negara. Ini telah diusahakan serta pada masa yang sama, merancang untuk membesarkan kilang yang sedia ada bagi meningkatkan kapasiti pengurusan di masa hadapan.
Selain itu, kami juga sedang berusaha memperbanyakkan rangkaian kedai-kedai kad undangan perkahwinan supaya imej produk dapat dikekalkan. Selain itu dapat memberi kepuasan serta jaminan kepada pelanggan bahawa jenama yang mereka beli berkualiti serta harga yang paling patut dan terbaik.
Buat masa ini, lokasi yang dikenal pasti ialah di Jalan Raja Abdullah iaitu berhampiran dengan Balai Polis Dang Wangi, Kuala Lumpur.
Orang ramai yang berminat berurusan dengan kami boleh menghubungi ibu pejabat di talian 03-2142 4245.
Saya dimaklumkan bahawa penceburan saudara dalam bidang perniagaan sudah bermula semenjak di alam persekolahan lagi. Apakah nasihat yang boleh dikongsikan kepada usahawan Muslim yang lain?
AZIZULRAHMAN: Bagi saya mengusahakan bisnes sendiri ia tidak terletak kepada modal semata-mata, waima ia satu perniagaan yang kecil tetapi kita kena ada sikap berjiwa besar, bercita-cita dan yakin dengan setiap langkah yang dibuat.
Bertitik-tolak dari situ kena ada usaha yang berlipat kali ganda untuk memperoleh pulangan yang setimpal.
Malah dalam perjalanan itu, kita akan bertemu dengan pelbagai peluang dan rintangan, maka kita kena berani untuk mengambil risiko. Ini kerana ramai yang berjaya hasil daripada keberanian mereka mendepani risiko.
Pun begitu, orang senang bercakap apabila sudah berada di tahap kejayaan. Namun, kita perlu ingat bahawa tidak kurang juga yang menempuhi kegagalan walaupun menerima pelbagai bantuan dan sokongan modal.
Oleh itu, apa yang paling penting sekarang, di samping amanah pada diri sendiri, kita juga kena berkongsi kebahagiaan secara sama rata. Seperkara lagi, selalu berdoa memohon keberkatan daripada Allah s.w.t.
Sebut tentang bisnes, kita selalu menjadikan saranan Baginda Rasulullah iaitu sembilan daripada 10 pendapatan adalah melalui perniagaan sebagai pemangkin semangat. Apakah pandangan saudara?
AZIZULRAHMAN: Saya berkeyakinan penuh dengan hadis Rasulullah s.a.w. di atas, namun seperkara yang kita kena terima iaitu, ia tidak datang bergolek.
Malah untuk membuktikan kebenarannya, ia perlu kepada usaha, kegigihan, keinginan dan ketahanan.
Andai kata ia perkataan yang ajaib (magic), tidak mustahil kita semua sibuk hendak berniaga.

USAHAWAN AGRO FARM



Fatisha Agro Farm
Lot 4594 Kampung Pengkalan Pandan Luar,
24000 Chukai, Kemaman,
Terengganu.

Emel: fatisha_agrofarm@yahoo.com

Biodata Pengurus

Nama :Rusila Yusof

Lahir pada 21 Jun 1981

Negeri Kelahiran: Terengganu

Latarbelakang Akademik: Lulusan Ijazah Sarjana Muda Sains Dengan Kepujian dalam bidang Teknologi Kimia (UKM) tahun 2003 dan Sarjana Sains Kimia (UKM) pada 2007.

Berhasrat untuk menjadi usahawan wanita yang berjaya dalam bidang cendawan. Bukan hanya setakat menjadi penanam cendawan, tetapi meluaskan skop dengan meneroka pelbagai bidang yang berkaitan dengannya.

Lain-lain:
  • Mengikuti Kursus Penanaman Cendawan Tiram Kelabu di bawah anjuran TPU, UPM
  • Mengikuti Kursus Skim Usahawan Komersial Tani Siswazah di bawah anjuran BPM
  • Mengikuti Kursus Penanaman Cendawan Tiram Kelabu Anjuran Duriopark Agro Trading

Pengalaman:
  • Dijemput oleh Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani sebagai panel di dalam Seminar Siswazah Tani Nasional 2008
  • Penceramah bagi kursus penanaman cendawan anjuran Kolej Komuniti Hulu Langat, Koleh Komuniti Kuala Langat dan Kolej Komuniti Pasir Gudang.
  • Menjadi penceramah jemputan bagi kursus penanaman cendawan yang dianjurkan oleh pihak swasta yang lain.
  • Penulis buku Buat Duit Dengan Cendawan terbitan PTS Publication.

USAHAWAN FROZEN



Tidak ada yang lebih istimewa bagi seorang siswazah apabila berpeluang menimba pengalaman sebagai pengurus operasi perniagaan peruncitan dan pemborong sedangkan baru sahaja menggenggam segulung ijazah. Lebih istimewa, kerjaya barunya menuntut lebih usaha untuk mendapatkan pengetahuan kerana ia berkaitan pemasaran produk berasaskan ternakan, sedangkan  ijazah yang dimiliki dalam bidang kejuruteraan elektrik. Justeru, `haluan' yang dipilih nyata menyimpang jauh daripada ilmu yang ditimba di universiti tetapi bagi Harfirdaus Che Lah, dalam usia yang baru mencecah 23 tahun, dia menganggapnya sebagai satu cabaran yang memerlukan kecekalan, keberanian selain tidak berputus asa untuk menambah pengetahuan. “Saya sudah jatuh cinta dengan perniagaan ini, ujarnya,‘’ ketika ditemui di pejabatnya di Kajang baru-baru ini. Harfirdaus Che Lah yang memegang jawatan Eksekutif Operasi, Perfect Fresh and Frozen nyata enggan menambah bebanan fikirannya bahawa bidang yang agak asing baginya boleh menjadi batu penghalang mencapai kejayaan. Malah dia yang pernah bertugas sebagai pelatih pengurus di sebuah syarikat makanan segera akan memanfaatkan ilmu yang dimiliki untuk memajukan syarikat berkenaan yang baru membuka outlet di Jalan Impian Murni, Saujana Impian, Kajang, Selangor.

Syarikat yang diuruskan oleh KMJ Supplies Sdn. Bhd itu beroperasi sebagai pemborong dan peruncit bekalan daging lembu, kambing Boer, rusa, unta, burung unta, arnab dan ayam kampung. Selain itu, syarikat terbabit juga memasarkan ayam turki, burung puyuh, itik dan susu kambing. Syarikat terbabit menawarkan sistem francais kepada mana-mana pengusaha yang berminat memasarkan produk-produk berkenaan, dengan tujuan membantu pengusaha ladang di peringkat pengeluaran untuk memasarkan hasil mereka. “Ada masa ini, kami memperoleh bekalan dari merata tempat di seluruh negara dan ini sekali gus dapat pengusaha memasarkan hasil ladang mereka,” kata Harfirdaus. Sebagai contoh, bekalan ayam kampong diperoleh dari projek penternakan membabitkan ibu tunggal di Kuala Selangor, burung puyuh (Pulau Pinang), itik (Tampin), arnab (Broga) dan burung unta dari Beranang, Selangor. Pengusaha menghantar bekalan daging mereka selepas diproses manakala syarikat terbabit membungkusnya dengan potongan dengan saiz tertentu memudahkan suri rumah menyediakannya untuk dimasak. Apa yang pasti, konsep pemasaran bekalan produk berasaskan daging itu memperkenalkan konsep baru dalam pemasaran daging yang bukal sahaja, segar tetapi halal dan bersih. Menurut Harfirdaus, meskipun baru dibuka pada 24 November lepas, pengunjung sudah mula memenuhi outlet tersebut sejak awal pagi khususnya pada hari cuti. Ini kerana konsep yang mudah untuk membuat pilihan dan jenis daging ternakan yang pelbagai, mendorong mereka mendapatkan produk yang diperlukan. Meskipun tidak semua daging yang dijual hasil daripada ladang ternakan tempatan, syarikat terbabit menjanjikan produk yang segar dan berkualiti. Malah, selain pasaran runcit, pengguna juga boleh membuat tempahan untuk mendapatkan daging yang dikehendaki dan akan dihantar ke destinasi yang diminta Menurut Harfirdaus, pihaknya juga menyasarkan kepada syarikat penyajian makanan (catering) kerana ia menawarkan satu pasaran besar bagi bekalan daging mentah. Selain itu, syarikat terbabit juga membekalkan susu kambing segar berjenama Vcals ke beberapa buah hospital selain dijual secara runcit.

Pada masa ini, syarikatnya mampu mengedar antara 400 dan 500 botol sehari kepada pelanggan terbabit. Dengan modal awal sebanyak RM250, 000 bagi melengkapkan outlet yang menempatkan pusat jualan, bilik pemotongan serta bilik sejuk beku serta kakitangan seramai empat orang setakat ini, Harfidaus ternyata mempunyai tanggungjawab berat memajukan perniagaannya, Kita kena berani bersemangat dan yakin dengan diri. Mengenai konsep francais, beliau percaya dapat mengembangkan lagi usaha tersebut melibatkan 10 buah cawangan dalam tempoh 12 bulan akan datang.

* Alamat: Perfect Fresh and Frozen, No 15, Jalan Impian Murni 1/5, Saujana Impian, 43300 Kajang, Selangor               
* Telefon : 012-2686845


USAHAWAN IKAN KELISA



Sebagai seorang saintis yang mengkaji kehidupan flora dan fauna menjadi titik tolak kepada Mohd. Zalalnudin Latipi, 31, membuka sebuah kedai menjual spesies ikan terancam kelisa atau juga dikenali sebagai arowana. Demi minatnya yang berputik sejak kecil Mohd. Zalalnudin nekad meninggalkan jawatannya sebagai seorang saintis. Minatnya kian bercambah apabila beliau berjaya menghabiskan pengajiannya dalam bidang Sosiologi Pemuliharaan di Universiti Malaysia Sabah. Ikan kelisa kepada Mohd. Zalalnudin bukan sekadar ikan hiasan malah kepada mereka yang tahu menilainya, ia boleh menjadi sumber pendapatan. Harganya mampu mencecah ribuan ribu ringgit selain ia digemari oleh kaum Cina di negara ini yang dipercayai membawa tuah kepada pemiliknya. Namun Mohd. Zalalnudin tidak menyangka hobinya yang suka memelihara ikan itu mampu memberikannya sumber pendapatan tetap kepadanya. "Dulu saya hanya bela ikan ini di rumah dan saya ada tujuh akuarium di rumah untuk mengisi ikan-ikan ini. "Namun pada tahun 2005 saya mengambil keputusan untuk berhenti sebagai seorang saintis kerana mahu melibatkan diri secara serius dalam perniagaan menjual ikan kelisa," katanya.
   
Mohd. Zalalnudin tidak menyangka, kedai yang baru dibukanya itu mendapat sambutan menggalakkan daripada penduduk setempat malah ikan kelisa juga mendapat permintaan daripada orang Melayu. "Selain orang Cina, orang Melayu juga menunjukkan minat terhadap ikan ini dan sanggup membelinya walaupun pada harga yang mahal. "Mereka yang datang ke kedai ini sanggup menghabiskan masa berjam-jam semata-mata mahu melihat kecantikan dan kelicikan ikan kelisa," katanya. Menyentuh penjagaan ikan kelisa, beliau memberitahu, tidak susah untuk membelanya tetapi perlu memastikan air yang digunakan dicampurkan dengan ubat antiklorin. "Antiklorin perlu dicampurkan mengikut sukatan yang ditetapkan selain memberi makanan kepada ikan mengikut waktu.
"Ikan ini kebiasaannya makan sejenis ulat yang banyak dijual di pasaran. Lipas dan cengkerik juga boleh diberi tapi lebih baik beli sahaja di pasaran kerana ditakuti serangga ini membawa racun dan mati jika memakannya," katanya. Jelasnya, bagi memenuhi permintaan ikan kelisa di kedainya itu, beliau telah membeli dua buah kolam ikan kelisa di Bukit Merah, Perak. "Kebanyakan ikan-ikan yang ada di kedai di bawa dari sana dan kita akan pilih ikan-ikan terbaik sebelum dipamerkan di kedai bagi menarik minat orang ramai," katanya. Di kedainya terdapat lebih 200 ekor ikan kelisa pelbagai variasi seperti Malaysia Gold Cross Back Golden Arowana, Malaysia Super Red Arowana, Indonesia Chili Red dan sebagainya. Lebih istimewa, harga ikan kelisa semakin meningkat jika ikan itu kian membesar. "Bagi saya ikan ini memang membawa tuah kepada pemiliknya. "Ikan ini juga tidak memerlukan penjagaan yang rapi. Kepada mereka yang berminat untuk mengetahui cara-cara penjagaan ikan kelisa mereka boleh datang terus ke kedai saya," katanya. Bagi mereka yang ingin melihat ikan-ikan yang dijual di kedai Mohd. Zalalnudin, kedainya itu terletak di Star Arowana World di Jalan Seberang Perak, Alor Setar.

USAHAWAN PERISIAN



DUA puluh lapan tahun lalu, gadis yang menyarung pakaian seragam berwarna putih berkain biru gelap itu sentiasa dikerumuni teman sekelas, terutama ketika ketiadaan guru di bilik darjah.

Bukan kerana teman sedarjah ingin bercerita mengenai rancangan kartun yang ditonton di televisyen pada malam sebelumnya, tetapi menantikan sesi membeli gula-gula dan makanan ringan di ‘gerai kecil’ milik si cilik bernama Nadira Mohd Yusoff.

Kini meneruskan legasi Nadi-Ayu Technologies Sdn Bhd (Nadi-Ayu) sebagai Ketua Pegawai Eksekutif, Nadira mengakui seawal usia tujuh tahun, dia mencintai dunia perniagaan.

“Di kedai, kawan menerima lima biji gula-gula untuk 10 sen tetapi jika dibeli secara banyak (atau pukal) diskaun boleh dinikmati dalam bentuk pertambahan jumlah gula-gula.


“Di situ, saya memahami jika membeli secara borong atau pukal, lebih banyak kebaikan dan manfaat diterima oleh pembeli. Sejak itu, saya memulakan perniagaan runcit di kelas.

“Dan tak sangka, hal sama terjadi ke atas anak sulung yang kini aktif menjual biskut buatan saya di sekolah,” katanya ketika ditemui di Damansara Perdana.

Menanam cita-cita bergelar polis akibat pengaruh drama bersiri Hong Kong satu ketika dulu, wanita muda yang murah dengan senyuman ini berkata, selain aktif ‘menjaja’, dia turut berkecimpung dalam sukan, terutama golf.

Pernah mewakili daerah Petaling dan negara, termasuk di kejohanan China Ladies Open, anak sulung daripada dua beradik perempuan ini berjaya meraih kedudukan juara pada 1994.

Katanya, bidang sukan membuatkan dirinya lebih bersemangat dan tidak mudah putus asa dalam mengharungi cabaran mahupun pertandingan. Biarpun tidak berjaya mendapat kedudukan lima teratas, yang pasti kekecewaan ditebus dengan usaha berkualiti.

Biarpun zaman persekolahan sudah lama berlalu, minat Nadira terhadap sukan golf masih utuh dan kini, dia kerap menghabiskan masa bersama pelanggan di padang golf berbanding pusat hiburan.

Katanya, padang golf adalah pusat ‘pemantauan’ yang sesuai untuk mengenali
bakal pelanggan.

Sikap ditonjol ketika bermain di padang mencerminkan sifat mereka mengendalikan perniagaan.

Tidak mengenal erti ‘duduk diam’, pada saat teman sekuliah Fakulti Kejuruteraan Elektronik, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan rakan sebilik asyik menghabiskan masa cuti hujung minggu dengan berlibur atau mengulang kaji pelajaran, Nadira sibuk mengajar tuisyen pada waktu malam.

Tidak cukup dengan itu, wanita berdikari ini sanggup merentas sempadan memasuki negara jiran, Singapura untuk menjana pendapatan lebih tinggi dengan bekerja sambilan di gedung beli-belah.

Katanya, dia enggan menghabiskan masa tanpa melakukan sesuatu, sebaliknya ia digunakan untuk mencari pengalaman serta kewangan. Yang pasti, Kota Singa menjadi pilihan apabila membayangkan pulangan lumayan.

Berakhir saja pengajian di UTM, Nadira mengambil langkah berani untuk meneruskan pencarian rezekinya di Singapura sebelum ditawarkan pekerjaan di sebuah syarikat elektronik hampir dua tahun.

Mengerah kudrat di negara yang mengamalkan budaya asing bukan sesuatu perkara mudah, apatah lagi, dia satu-satunya pekerja wanita yang juga dari Malaysia dalam kelompok tugasannya.

“Dikelilingi kelompok lelaki asing memberi kelebihan kepada mereka untuk ‘membuli’ saya. Erti kata, buli itu bukan bermaksud sentuhan fizikal, sebaliknya saya diminta bekerja melebihi waktu bertugas, malah kadangkala tidak berkesempatan pulang ke rumah 24 jam.

“Namun pengalaman di sana membuatkan saya bertambah kuat, berdisiplin dan enggan mengaku kalah dalam menghadapi cabaran. Pengalaman itu juga saya gunakan apabila mengambil alih Nadi-Ayu atas permintaan ayah,” katanya.

Mula mentadbir syarikat pada 2002, wanita ini mengambil tindakan drastik memperkenalkan komputer riba jenama sendiri, Natsys. Bermula dengan enam kakitangan membabitkan ahli keluarga, komponen Natsys dipasang sendiri
dan dijual secara kecil-kecilan.

Dalam tempoh setahun, jenama Natsys mula dikenali ramai, pengeluaran pula mencecah 500 buah sebulan dengan pusat servis di seluruh Malaysia diuruskan bersama 30 kakitangan.

Menjelang 2007, Nadi-Ayu mula membekalkan komputer kepada Kementerian Pengajian Tinggi (Mohe) dan dianggap kejayaan besar bagi Nadira. Menyediakan komputer berasaskan Bumiputera, Natsys turut dibekalkan dengan aplikasi yang membantu pengguna ke tahap maksimum.

Pertemuan dengan seorang pelanggan membuka dimensi baru bagi Nadira apabila mencadangkan Nadi-Ayu menghasilkan aplikasi pengajaran Bahasa Inggeris untuk pelajar, terutama di tahap awal.

Pucuk di cita, ulam mendatang, Nadi-Ayu kemudian ditawarkan geran kewangan daripada Perbadanan Pembangunan Multimedia (MDeC).

Nadira memulakan misi membangunkan satu aplikasi pendidikan Bahasa Inggeris secara on-line berfungsi meningkatkan skil membaca dan pengetahuan umum bagi kanak-kanak, Morrieland sebelum dilancarkan pada 26 Oktober 2011.

Menakjubkan apabila aplikasi yang dilancarkan oleh Tun Dr Mahathir Mohamad itu menerima sambutan menggalakkan, terutama di kalangan kanak-kanak, ibu bapa dan guru.

Terbaru, Nadi-Ayu menerima Anugerah Jenama Komputer Terbaik Malaysia, Pilihan Editor HWM 2011 dan Anugerah NEF-Awani, Syarikat Paling Berinovasi 2011.
USAHAWAN MAKANAN


Tiga belas tahun lalu, anak Kuala Pilah itu yang bekerja dengan sebuah syarikat pembuatan sos milik Bumiputera pernah mencadangkan kepada majikannya supaya mengeluarkan mayonis. Beliau yakin produk itu boleh pergi lebih jauh di masa akan datang dan menjadi makanan digemari rakyat Malaysia.
“Ketika itu mayonis belum popular dan dianggap makanan orang Barat. Apabila saya mencadangkan majikan mengeluarkan mayonis, cadangan saya dipandang sepi kerana majikan tidak berani meneroka pasaran bagi produk baru itu.

“Ini menguatkan semangat saya untuk mengusahakannya sendiri. Saya berhenti kerja dan melakukan pembangunan dan penyelidikan (R&D) bagi mengusahakan produk berkenaan sebelum menghasilkan produk dua tahun kemudian,” katanya.

Menurutnya, bukan mudah untuknya merintis jalan membangunkan produk yang belum dikenali. Membuat mayonis bukan sesuatu yang mudah.

“Untuk menghasilkan produk baru, kita perlu ada pengetahuan, kefahaman dan teknik pembuatan produk. Untuk mendapatkan pendedahan lanjut mengenai teknik pembuatan mayonis, saya ke Jerman hampir sebulan.

“Tiba di sana, saya dapati teknologi digunakan pengeluar mayonis di negara itu terlalu tinggi. Saya mencari kaedah bagi pemprosesan yang tidak membabitkan pelaburan tinggi. Mengikut kemampuan yang ada, saya berjaya mengurangkan kos melalui penggunaan teknik konvensional,” katanya yang memiliki latar belakang pendidikan dalam bidang teknologi makanan.

Syarikatnya, AJ Food Industries (M) Sdn Bhd berjaya menghasilkan mayonis sendiri diberi nama Jasma iaitu gabungan nama bapa dan ibunya iaitu Jasmi dan Asma. Tidak seperti mayonis di negara Barat dan Arab yang masam, mayonis Jasma bersesuaian cita rasa masyarakat tempatan iaitu rasa masam tetapi lemak manis.

Ketika memperkenalkan produk, Ainual turun padang meminta pekedai memberi peluang kepadanya memasarkan produk. Walaupun pada peringkat awal mereka sukar menerima kerana ada syarikat pesaing yang memonopoli pasaran, penerimaan berperingkat membolehkan Jasma berlegar di pasaran.

Sesuatu yang ajaib, ternyata Ainual bernasib baik atau ‘langkah kanan’ kerana tiba-tiba syarikat pesaing yang mengeluarkan produk mayonis menghadapi masalah membekal. Ini membuka ruang yang luas untuk Ainual memperkenalkan produk Jasma.

“Saya tidak menghadapi masalah besar untuk memasarkan produk walaupun ia belum dikenali dan baru di pasaran. Walaupun pada masa itu pembungkusan kurang cantik, ditambah ia bukan produk makanan tempatan, pekedai dengan mudah memberi peluang saya memasarkan produk Jasma. Namun, kegembiraan itu cuma bersifat sementara kerana apabila syarikat pesaing mengetahui perkara itu, mereka terus melambakkan barangan mereka di pasaran,” katanya.

Tahun pertama dipasarkan, mayonis AJ Food Industries (M) Sdn Bhd mencatat jualan drastik, malangnya jatuh menjunam pada tahun kedua akibat lambakan produk pesaing selain masalah dengan kualiti produk Jasma.

“Mayonis yang kami pasarkan menghadapi masalah kerosakan ketika dalam pasaran. Masalah berlaku pertengahan 2000 dan berlarutan hingga 2004 menyebabkan syarikat hampir ditutup.

“Keyakinan pekedai menurun hingga memberi masalah untuk memasarkan kembali produk disebabkan sukarnya mendapatkan kembali kepercayaan mereka,” katanya.

Pada 2004, syarikatnya bangkit daripada kejatuhan dan mengambil masa dua tahun untuk membina semula nama.

“Seperkara yang saya peroleh daripada kejadian itu ialah pelanggan perlu dijaga. Syukur, mereka masih memberi peluang kepada saya memasarkan produk di pasar raya mereka,” katanya.

Menurutnya, antara kekuatan untuknya bangkit daripada kegagalan itu ialah apabila pekerjanya masih setia dan sanggup bersama mengharungi kesusahan dialami syarikat.

Antara pengalaman dilalui ketika memasarkan produk ialah pulang malam dan awal pagi. Malah, beliau pernah ditahan polis dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sewaktu menghantar barangan ke Gua Musang kerana tidak memiliki lesen kenderaan membawa barang (GDL).

“Saya nekad meminjam van abang untuk menghantar barangan walaupun tiada lesen kenderaan membawa barang,” katanya.

Bercita-cita menjadikan AJ Food Industries (M) Sdn Bhd sebagai syarikat Bumiputera yang berjaya dalam pengeluaran mayonis untuk pasaran tempatan dan antarabangsa, Ainual kini dalam perancangan mengeluarkan produk yang mempunyai nilai tambah di pasaran iaitu melalui penghasilan makan berasaskan mayonis.

Bagi menjaga nama baik dan kualiti produk, syarikat menyimpan sampel mayonis setiap kali pengeluaran untuk rujukan.

“Kami pernah melalui pengalaman kurang menarik iaitu produk dipasarkan rosak dan apabila merujuk sampel, didapati ia juga rosak. Setiap sampel disimpan sebagai rujukan jika berlaku kes bekalan rosak di pasaran. Selain itu, kami membuat analisis makmal dan analisis kimia bagi memastikan produk dalam keadaan baik, malah pelawat juga tidak digalakkan melawat kilang pemprosesan bagi mengelak pencemaran,” katanya.

PROFIL

NAMA: Ainual Azhar Jasmi
UMUR: 47 tahun
ASAL: Kuala Pilah, Negeri Sembilan
JAWATAN: Pengarah Urusan AJ Food Industries (M) Sdn Bhd
PENDIDIKAN: Diploma Sains Pertanian, Universiti Putra Malaysia (UPM) (1981-1983), Ijazah Sarjana Muda Teknologi Makanan, UPM (1984-1988)
ISTERI: Rokiah Hashim
ANAK: Nurul Syahidah (20); Maisarah (19), Mohd Hafiz Syamil (14) dan Amirah (10)


USAHAWAN PRODUK KESIHATAN



Bertapak sebagai sebuah syarikat pengeluar produk makanan kesihatan, Herba Prima Marketing Sdn Bhd (HPM) yang diasaskan oleh Datuk Dr Che Rozmey Che Din bersama arwah isterinya, Noor Halawiyah Abdullah Shukri di Bandar Darul Aman Jaya, Jitra, Kedah telah mencipta satu fenomena baru kepada pengguna di negara ini.

Beroperasi pada awal 2006, Datuk Dr Che Rozmey yang juga seorang pakar perbidanan dan sakit puan menggunakan kemahiran sebagai seorang doktor pakar untuk menformulasi produk kesihatan sendiri iaitu Jus Mate 5.

Sentuhan dan tindakan berani itu membuahkan hasil apabila kejayaaan demi kejayaan dicipta oleh pengasas HPM itu.

Tindakan berani disertai dengan konsep kejujuran, keikhlasan dan berkat kesabaran menghadapi ujian Allah membawa kepada kejayaan luar biasa sehingga beliau sendiri tidak percaya dengan kejayaan yang begitu pantas itu.

Bermula dengan sebuah pejabat yang dikongsi bersama Jitra Medical Centre (JMC) yang ketika itu menjadi pemangkin kepada pendapatan utamanya, HPM mengorak langkah dengan begitu pantas apabila berjaya membina empayar perniagaan dalam tempoh dua tahun sahaja.

Kini bangunan JMC itu menempatkan lebih 300 kakitangan HPM dari pelbagai unit yang bertugas 24 jam bagi memberi perkhidmatan yang berbaik kepada pengguna dan pengedar.

Kejayaan demi kejayaan tercipta apabila produk HPM terutama Jus Mate 5 mula memberi ganjaran kepada pengguna. Konsep guna baru jual yang dipratikkan oleh Dr Rozmey membuahkan hasil apabila ribuan testimoni pengguna tampil untuk memberi pengakuan.

Tsunami baru melanda perniagaan HPM apabila medium media cetak yang digunakan oleh Dr Rozmey untuk mencanangkan kejayaan testimoni mendapat maklum balas di luar jangkaan sehingga memaksanya untuk meningkatkan perkhidmatannya termasuk memperkenalkan system belian online.

Selepas empat tahun beroperasi, warga HPM patut berbangga dengan pencapaian yang dikecapi sehingga syarikat dipelopori oleh usahawan bumiputra ini mampu berdiri sama gagah dengan syarikat lain di Negara ini.

Perjenamaan baru dR Rozmey selaras dengan perkembangan HPM membawa kepada perkembangan cabang perniagaan baru seperti dR Rozmey Skin Care, dR Rozmey Beauty Slimming Fitness Centre (RBSFC), dR Rozmey Body Shop, dR Rozmey Fashion, dR Rozmey Sport Wear dan dR Movie Production.

PROFIL

DATUK DR CHE ROZMEY CHE DIN
Umur : 41 tahun
Status : Berkahwin
Kelahiran : Bukit Sireh, Kuala Krai Kelantan
Isteri: Noor Halawiah Abdullah Shukri Anak: Syamsul Anwar(17), Puteri Amylia Natasha(9), Putera Amirul Hakim(8)
Kelulusan : Ijazah Perubatan (MD,USM 1993), Sarjana Perubatan (Perbidanan & Sakit Puan USM 1999) Pendidikan : SRK Sultan Yahya Petra Kuala Krai, MRSM Pengkalan Chepa, University Sains Malaysia(USM) Jawatan : C.E.O Jitra Specialist Centre Sdn. Bhd. C.E.O Jitra Medical Centre Sdn. Bhd. C.E.O Herba Prima Marketing Sdn Bhd

USHAWAN PEMBINAAN



DI MANA ada usaha, di situ ada kejayaan.” Perumpamaan itu tepat menggambarkan kegigihan Mohd Ghani Hitam, 49, merintis masa depan lebih cerah untuk diri dan keluarga.

Jika orang lain mungkin berhenti sekerat jalan, namun semangat Pengerusi Eksekutif Kumpulan Syarikat MGH Synergy Sdn Bhd itu untuk menyelesaikan pengajiannya tidak pernah pudar.

Beliau mengambil masa tujuh tahun untuk meraih Diploma Pentadbiran Awam menerusi program jarak jauh Institut Teknologi Mara (ITM – kini UiTM). Untuk menambah pendapatan keluarga, Ghani menjual pelbagai hasil pertanian dan makanan di pasar malam.

“Apa saja yang boleh menampung keluarga, saya lakukan asalkan jadi duit, halal dan tidak menganiaya orang lain. Saya ketepikan rasa malu, letih dan jemu demi memastikan kehidupan keluarga terjamin,” katanya.

Dia kemudian berhenti kerja untuk menyambung pengajian sepenuh masa selama empat tahun di peringkat ijazah dalam jurusan perakaunan di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Dalam tempoh itu bermacam pengalaman dilalui. Tanpa pekerjaan selepas bergelar penuntut sepenuh masa, kehidupannya sekeluarga agak sukar.

“Tahun pertama menuntut di UKM, saya tinggalkan isteri dan anak di Kuala Terengganu. Saya menaiki apa saja kenderaan yang sanggup menumpangkan saya untuk pulang, termasuk lori surat khabar,” katanya.

Letih berulang alik dari Bangi ke Kuala Terengganu, dia mengambil keputusan membawa anak dan isteri tinggal bersama dengan menyewa di perumahan kos rendah di Sungai Merab Luar, Kajang.

“Isteri yang sebelum ini tidak bekerja, mengambil alih tugas menyara keluarga dengan bekerja sebagai operator kantin kilang. Daripada tidak tahu menunggang motosikal dan memandu kereta, dia mengambil lesen dan menghantar saya ke kolej sebelum meneruskan perjalanan ke tempat kerja. Berkat ketekunan dan kesabaran, kehidupan kami mula berubah,” katanya.

Ghani orang yang bertanggungjawab menentukan hala tuju dan daya maju syarikat mengikut bidang dan perniagaan teras masing-masing. Antara perniagaan teras syarikat bernaung di bawah MGH Synergy adalah sebagai kontraktor dalam bidang sivil dan elektrikal, pembangunan perisian dan teknologi kreatif, bidang teknologi maklumat dan komunikasi (ICT), makanan dan minuman serta minyak dan gas.

Menjadi kebanggaan syarikat apabila mempunyai sekumpulan tenaga kerja muda yang dedikasi dan kreatif sebagai pengarah urusan beberapa syarikat di bawah MGH Synergy.

Anak sulung, Afif, 26, dan anak kedua, Akram, 24, masing-masing Pengarah Urusan Dynamic 3D Sdn Bhd (D3D Group) dan Ara Kiana Sdn Bhd, yang membangunkan sistem perisian membantu proses penandaan dan pemarkahan lukisan CAD (Computer Added Design) serta memajukan beberapa perisian meningkatkan sistem penyampaian dan perkhidmatan kerajaan dan agensinya.

“Saya sering berpesan kepada anak dan semua pekerja supaya sentiasa menyiapkan diri dengan segala keperluan, termasuk ilmu pengetahuan. Mereka perlu sentiasa peka dan kreatif dengan arus perubahan dan kehendak pasaran supaya sentiasa berdaya saing di dalam dunia perniagaan,” katanya.

Sesuatu yang boleh dibanggakan adalah kemampuan syarikat Dynamic 3D Sdn Bhd diterajui Mohd Afif membangunkan perisian CADMARK untuk keperluan semasa.

Sistem perisian itu membantu proses penandaan dan pemarkahan lukisan CAD, iaitu yang pertama di pasaran domestik juga Asia. Afif turut bertanggungjawab memajukan beberapa perisian lain untuk meningkatkan sistem penyampaian serta perkhidmatan kerajaan dan agensinya.

“Sebelum ini tidak ada perisian yang membantu pensyarah menanda kertas peperiksaan. Sistem penandaan kertas peperiksaan ini bakal digunakan secara meluas di Kementerian Pengajian Tinggi dan Kementerian

Sumber Manusia melalui universiti berteraskan teknikal, kolej kejuruteraan dan institut latihan perindustrian,” katanya yang turut memantau kumpulan jurutera perisian membangunkan sistem itu sejak tiga tahun lalu
.
Atas dorongan dan bimbingan yang tidak putus-putus, Mohd Akram menerajui syarikat terbabit dalam bidang perniagaan teknologi komunikasi maklumat.

Ara Kiana Sdn Bhd berhasrat muncul sebagai syarikat peneraju dalam perniagaan ICT di Malaysia satu masa nanti.

“Saya yakin, dengan semangat dan dedikasi anak muda yang ada dalam Ara Kiana, cita-cita murni ini boleh dicapai,” katanya.

Selepas meraih ijazah sarjana muda, bapa tujuh anak lelaki itu kemudian menyambung pengajian ke peringkat sarjana selama tiga tahun, memberinya sedikit kelebihan untuk berkhidmat di beberapa syarikat, termasuk syarikat automotif, pembinaan kapal hinggalah kepada syarikat yang terbabit dalam bidang pengerukan dan penambakan (dredging & reclaimation) dan kejuruteraan marin.

Melalui tempoh kegawatan ekonomi pada sekitar 1997 memberikan Ghani pengalaman berguna yang tidak dipelajarinya ketika menuntut di universiti.

Satu pengajaran penting yang diingat hingga kini adalah beberapa sektor yang sangat rapuh dan terheret dengan cepat apabila berlaku kegawatan.

Ghani mula menyiapkan diri, menimba sebanyak mungkin ilmu dan memberi sepenuh sokongan kepada isteri tercinta untuk mengembangkan perniagaan yang berasaskan makanan dan minuman. Bidang ini kurang terjejas dan tidak memberi kesan teruk apabila ekonomi tidak memberangsangkan.

“Perniagaan menjual makanan dan minuman ini sebati dengan jiwa isteri saya kerana kebetulan hobinya memasak untuk tujuh anak lelaki kami,” katanya.

Mengimbau masa lalu, Ghani berkata, beliau sentiasa optimis memandang masa depan walaupun kadangkala terpaksa berdepan dugaan dan cabaran.

Daripada bergelar kakitangan kerajaan, kemudian berhenti kerja untuk menyambung pelajaran sambil bekerja sambilan menampung kehidupan keluarga. Pengalaman itu banyak mencorak kehidupan beliau supaya menjadi lebih tabah dalam menempuh kehidupan mendatang.

“Dua cabaran masa lalu adalah membina kehidupan dan juga mendidik anak. Keadaan ketika itu sungguh kritikal dan mencabar. Isteri banyak memainkan peranan mendidik anak kerana saya sibuk menyambung pengajian ke peringkat lebih tinggi. Saya bernasib baik kerana walaupun tidak dapat memberi sepenuh perhatian kepada mereka kerana tuntutan belajar, Alhamdulillah anak saya berjaya,” katanya.

Satu prinsip yang dipegang beliau sampai sekarang adalah, jika melakukan sesuatu perkara, ia perlu dilakukan bersungguh-sungguh.

“Dalam hidup ini, sebenarnya semua orang mempunyai peluang sama untuk berjaya. Tiada halangan sebenarnya jika setiap orang diberi peluang untuk berusaha hingga berjaya. Walaupun kita bekerja dengan orang, anggaplah itu sebagai kerja kita sendiri yang perlu kita laksanakan sebaik mungkin,” katanya.

No comments:

Post a Comment